Thursday 20 June 2013

Gelagat Lady Gaga Malaysia

Sebagai pengarah yang berpengalaman, pelbagai genre drama sudah diarahkan oleh MP Roslin. Daripada genre cinta, keinsafan dan perjuangan semuanya sudah dihasilkan dan menerima respons yang baik daripada penonton.
Terbaru, dia hadir pula dengan genre komedi menerusi drama bersiri Kerana Putera Idaman. Berkonsepkan komedi ringan, cerita ini tampil dengan kelainan tersendiri apabila mewujudkan karakter pelakonnya sebagai Lady Gaga Malaysia. 
Penggambaran dilakukan sekitar ibu kota dan MP Roslin perlu bijak mengambil syot menarik bagi memastikan drama yang menonjolkan kelainan karakter lakonan Hanez Suraya diterima peminat.

Roslin berkata, cerita ini mencabar kemampuan Hanez kerana perlu melakonkan dua karakter yang kontra iaitu Elana, seorang gadis bandar dan Ana, seorang gadis desa.
Foto

“Sebaik membaca skrip, saya dah membayangkan Hanez sesuai membawakan watak ini. Saya dah lama kenal dia dan cuba menampilkan dia dalam sisi lain. Sebelum ini orang hanya nampak dia dalam filem cinta.

“Bagaimanapun kerana kesibukan masing-masing, kami tak sempat berjumpa dan hanya berkomunikasi menerusi telefon. Namun saya percaya dia mampu menunjukkan lakonan terbaik dan ia dibuktikan sebaik penggambaran bermula. Lakonannya bukan dibuat-buat,” katanya ketika ditemui di lokasi drama ini di Jalan Genting Kelang. 

Roslin berpuas hati dengan Hanez. Bahkan dia menyifatkan karakter Ana yang datang dari kampung adalah makanan Hanez kerana dia mampu melakonkan watak ini dengan cemerlang.

“Memang dia sudah buat yang terbaik tapi kekuatan drama ini bukan kerana Hanez sahaja. Saya juga puji lakonan pelakon lain iaitu Qazem, Afzan dan ramai lagi yang membantu menjayakan drama ini. Saya pun tak sangka Zulkifli Ismail boleh berlakon komedi.

“Sebenarnya unsur komedinya bukan berat tapi agak spoof yang diperlihatkan menerusi tingkah laku, intonasi dan dialog mencuit hati. Konsep ceritanya pula umum dan sering berlaku dalam masyarakat.

“Paling teruja ialah apabila saya dapat bekerjasama dengan Tawil yang sangat saya minati suatu ketika dulu. Seakan-akan tak percaya apabila dia disenaraikan sebagai salah seorang pelakon drama ini,” katanya yang tidak berehat lama kerana sering ditawarkan kerja pengarahan terutama oleh Enuja Production.

Sememangnya, MP Roslin seorang pengarah yang mahir dan pandai memanfaatkan kemajuan teknologi. Ketika mengarahkan drama bersiri Sedetik Cinta dia menggunakan dua kamera, kali ini peralatan itu sekali lagi digunakan bagi memastikan penggambaran dapat disiapkan mengikut perancangan.

“Konsep dua kamera ini akan digunakan apabila membabitkan drama bersiri. Segala-galanya yang dirancang berjalan lancar sekali gus mempercepatkan penggambaran. Paling utama, mood artis juga tidak terjejas kerana tidak perlu melakukan penggambaran berulang kali.

“Halangan besar yang dihadapi hanyalah disebabkan keadaan cuaca hujan yang membuatkan penggambaran tertunda. Tapi kami akan bayar semula hutang itu dengan buat sebanyak mana babak yang mampu apabila keadaan cuaca baik. Kita perlu bijak buat perancangan,” katanya yang berpuashati kerana penggambaran untuk 13 episod ini berjaya disiapkan dalam tempoh masa 30 hari.

Sementara itu, penerbitnya Zainuddin Mohd Ismail mengakui syarikatnya sentiasa mempelbagaikan genre drama terbitannya. Ia juga bergantung kepada stesen mana yang menawarkan peluang untuknya menghasilkan drama.

“Kami boleh buat apa saja drama samada berkonsep ringan atau berat. Untuk RTM, Enuja sering menghasilkan drama komedi. Sebelum ini kami sudah terbitkan drama Masak Lomak Cili Api yang mendapat sambutan dari penonton," katanya.

Jelasnya, dia suka menghasilkan drama secara berselang-seli genre kerana dapat memberikan kelainan dalam industri drama. Namun dia tidak menolak menerbitkan apa juga genre drama jika dimahukan oleh stesen TV.

“Setiapkali menerbitkan drama, kami pasti buat yang terbaik. Setiapkali ada masa terluang, saya akan berbincang dengan pengarah dan kru produksi bagi mengenal pasti masalah yang timbul. Sekiranya ada masalah yang kritikal, kami segera akan menyelesaikannya,"kata Zainuddin.


Sinopsis

Kerana Putera Idaman mengisahkan Elana yang suka bergaya seperti artis popular yang menjadi idolanya, Lady Gaga. Ini membuatkan bapanya Datuk Amar dan ibunya Datin Nora risau dengan fesyen pelik Elana sebaik tamat belajar di kolej fesyen di New York. Bapanya meminta Elana bekerja dengan syarikat mereka.

Fesyen pelik yang digayakan oleh Elana mengejutkan semua pekerja bapanya. Dia sempat berkenalan dengan Azrul, model kacak yang suka memikat anak orang kaya. Elana juga terkena air yang ditumpahkan oleh pengurus akaun mereka, Fariz yang tegas dan kacak orangnya.

Farid dimarahi oleh Elana di depan semua orang. Elana muncul dengan penampilan pelik dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah dan sebahagian klien mereka sehingga mengejutkan semua orang. Datuk Amar segera menyuruh dia mengubah penampilannnya tetapi dia enggan dan merajuk enggan bekerja.

Datuk Amar pening kepala dengan kerenah Elana kerana terlalu mengharapkan Elana meneruskan legasi perniagaannya. Tetapi Elana tetap berdegil dan hidup dalam dunianya sendiri. Dia suka melepak dengan ramai teman lelaki.

Elana akhirnya terpikat dengan Azrul dan sering keluar bersama jejaka itu. Niat Azrul hanya untuk menumpang kemewahan Elana dan mendapatkan tawaran menjadi model berterusan dari syarikat Elana.

Elana dalam dilema untuk memilih Azrul atau Adam, kekasih campuran ketika zaman belajarnya. Kedua-dua mereka tidak disukai oleh ibubapanya. Elana merajuk lagi dan ketika itulah sepupunya Mimi yang akan melanjutkan pelajaran di sebuah universiti, datang dari kampung dan menumpang di rumahnya.

Walaupun suka mengutuk penampilan Mimi yang dianggap selekeh kerana berbaju kurung dan bertudung, Elana suka bersembang dengannya. Selepas Elana bercerita kisahnya, Mimi beri idea agar dia menyamar sebagai budak kampung untuk mencari cinta sejati.